Objektif

Objektif utama KESDEC adalah untuk membantu rakyat Kelantan terutamanya golongan sasaran tertentu dalam meningkatkan kualiti hidup mereka seterusnya mampu menjadi rakyat yang berdikari.
Sasaran utama KESDEC adalah belia dan beliawanis lepasan PMR dan SPM yang berminat untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran. Jesteri itu, KESDEC menawarkan pelbagai kursus jangka panjang yang boleh diikuti oleh golongan ini. Memandangkuan penubuhan KESDEC masih baru beroperasi dan Pusat Latihannya pula masih dalam proses pembinaan, KESDEC telah merangka program-program kerjasama dengan pusat-pusat latihan di seluruh Malaysia. Ia bertujuan memastikan belia/beliawanis yang tidak berpeluang untuk mengikuti pengajian ke pusat pengajian tinggi tidak terabai dan bijak menggunakan masa yang ada.
Sebagai langkah permulaan, KESDEC telah menjalin kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan Negeri Perak (PESDC). Hasil daripada kerjasama tersebut, KESDEC telah berjaya menghantar seramai 31 orang belia dan beliawanis untuk mengikuti kursus kemahiran di sana. PESDC juga turut berminat untuk mengambil pelajar bagi pengambilan kali kedua belia/beliawanis dari Kelantan yang jangka dihantar pada Januari 2008.
Seterusnya KESDEC mengorak langkah lebih jauh lagi dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC). Hasilnya, TESDEC juga telah bersetuju untuk menempatkan belia dan beliawanis dari Kelantan untuk mengikuti kursus kemahiran di sana. Tempoh masa penghantaran yang sesuai akan ditentukan oleh pihak TESDEC. KESDEC menganggarkan seramai 40 belia/beliawanis akan dihantar ke TESDEC.
Program kerjasama yang akan dibuat setrusnya adalah bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Sembilan (NSSDC), Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Johor (PUSPATRI), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Pulau Pinang (PSDC), Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Selangor (SHRDC), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Pahang (PSDC) dan Pusat Pembangunan Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (KISMEC).
Program-program kerjasama ini dibuat melalui lawatan-lawatan yang akan diadakan oleh KESDEC peringkat demi peringkat bagi memastikan keberkesanan lawatan itu. Perancangan dan program kerjasama yang teliti akan dilaksanakan bagi memastikan Kelantan juga mempunyai pusat latihan seperti yang ada di negeri-negeri lain.
KESDEC berminat untuk menjalani program kerjasama dengan semua pihak setelah melihat keberkesanan dua program lawatan yang telag dibuat sebelum ini, iaitu di PESDC dan TESDEC. Di PESDC umpamanya, KESDEC telah berjaya membina hubungan yang erat sehingga menawarkan pengambilan bagi kali kedua untuk belia/beliawanis dari Kelantan. Hal ini juga adalah sama dengan lawatan ke pusat latihan Terengganu yang dikenali sebagai TESDEC. Kesungguhan yang diberikan oleh PESDC dan TESDEC menyebabkan KESDEC mempunyai harapan yang sama dengan pusat-pusat latihan yang lain.
Kedua-dua lawatan ini dianggap berjaya setelah mengambil kira beberapa aspek iaitu kedua-dua pusat latihan tersebut telah berminat untuk mengambil belia dan beliawanis dari Kelantan untuk mengikuti kursus di tempat masing-masing dan kursus-kursus yang ditawarkan pula adalah percuma.